KUALA LUMPUR: Bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid bakal beraksi dalam Liga Premier Portugal selepas mendapat tawaran daripada Portimonense SC.
Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tiger (JST) berkata, pihaknya sedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.
Bagaimanapun perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum ada kata putus.
“Kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JST.
Sekiranya, perbincangan berjalan lancar, Safawi bakal muncul pemain kedua beraksi di kelab Eropah tahun ini selepas tonggak Bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai kelab KV Kortrijk, Belgium.
Pemain berasal dari Dungun, Terengganu yang tersenarai sebagai penjaring gol terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini pernah dikhabarkan dirisik beberapa kelab berpangkalan di luar negara berdasarkan prestasinya ketika bersama dengan skuad Harimau Malaya.
Portimonense SC mengakhiri musim lalu dengan berada di kedudukan ke-17 liga menerusi 33 mata selepas mengharungi 34 perlawanan dan pengurusnya adalah Antonio Folha.