TURIN: Cristiano Ronaldo meledak dua gol dan Juventus menang 2-1, namun aksi cemerlang itu tidak cukup untuk menyelamatkan juara dua kali tersebut daripada tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Sepakan penalti kapten, Memphis Depay minit ke-12 sebaliknya memadai untuk membawa Lyon ke suku akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat secara agregat 2-2.
Kekalahan itu sukar diterima pengurus Juventus,Maurizio Sarri yang menyifatkan pasukannya telah menerima sumpahan Liga Juara-Juara.
“Saya sangat kecewa, saya faham bagaimana saingan ini memberi sumpahan kepada Juve,” kata Sarri yang mengambil alih tugas pengurus musim panas lalu.
Kelab Turin itu tidak pernah memenangi kejohanan elit Eropah tersebut sejak 1996. Satu lagi kejuaraan hadir pada 1985.
Mereka muncul naib juara tujuh kali, termasuk dua kali dalam tempoh lima tahun terakhir.
Juventus yang baru mengesahkan gelaran Serie A kesembilan berturut-turut, bertemu Lyon yang lebih segar selepas Ligue 1 dibatalkan lima bulan lalu kerana pandemik Covid-19.
“Kami kecewa kerana terlepas peluang pada aksi pertama di Lyon (kalah 0-1, Februari lalu) dan ia memberi kesan besar.
“Mereka melakukan persiapan lebih rapi berbanding kami. Saya pulang dengan kecewa kerana kami tewas tetapi semua pemain beraksi dengan baik,” kata Sarri. – AGENSI