ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berjanji akan melangsaikan tunggakan gaji pemain dan kejurulatihan berjumlah RM1.26 juta pada hujung minggu ini.
Khabar gembira tersebut diumumkan Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini sekali gus diharapkan menjadi pembakar semangat kepada pasukan Lang Merah menghadapi sambungan Liga Malaysia (Liga M) itu.
Menurutnya, bayaran itu juga membabitkan tunggakan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain dan kejurulatihan.
“Hujung minggu ini, KFA akan bayar RM1.26 juta tunggakan gaji dan KWSP. Bulan berapa tak kira tapi kita bayar.
“Insya-Allah ada penaja, jangan tanya dari mana saya ikhtiarkan dan cari (dana). Jadi pemain main jangan kalah,” katanya.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam Negeri Kedah di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan KFA memberi jaminan isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain sejak Mac lalu akan dapat diselesaikan pada musim ini.
Sebelum ini, KFA juga sudah menjelaskan bayaran gaji bagi bulan Julai selepas skuad Lang Merah tidak menerima sebarang tunggakan gaji sejak lebih lima bulan lalu.