LISBON: Paris Saint-Germain (PSG) mempamer kebangkitan luar biasa apabila meledak dua gol lewat permainan untuk menumpaskan Atalanta 2-1 dalam suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz, pagi tadi.
Skuad kendalian Thomas Tuchel sudah di ambang kekalahan selepas ketinggalan 0-1 ketika perlawanan tinggal beberapa minit untuk ditamatkan.
Bagaimanapun jaringan Marquinhos minit ke-89, diikuti Eric Choupo-Moting, dua minit memasuki waktu kecederaan membawa juara Perancis itu ke separuh akhir.
Gol tunggal Atalanta sebelum itu dijaringkan Mario Pasalic seawal minit ke-26.
“Saya akui kami sudah memikirkan tentang penyingkiran. Selepas 85 minit permainan kami mula bersikap realistik.
“Bagaimanapun semangat juang pemain menghasilkan gol penyamaan di hujung permainan sebelum disusuli jaringan kedua.
“Kami bermain dengan baik, namun gagal menemui sentuhan penyudah sehinggalah terpaksa menunggu minit terakhir.
“Kami layak ke separuh akhir selepas menguasai perlawanan, terutama babak kedua. Kemasukan pemain dari bangku simpanan cukup luar biasa,” kata Tuchel.
PSG kini akan menentang pemenang di antara RB Leipzig atau Atletico Madrid. – AGENSI