Perpindahan impian jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Perpindahan impian jadi kenyataan

NATHAN Ake
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Impian Nathan Ake untuk beraksi bersama kelab gergasi akhirnya menjadi kenyataan selepas melengkapkan perpindahan 41 juta pound (RM225.49 juta) ke Manchester City semalam.

Pemain pertahanan berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun yang akan mengekalkannya di Etihad sehingga 2025.

“City antara kelab terbaik di England dan menyertai pasukan ini ibarat impian menjadi kenyataan. Mereka memiliki ramai pemain kelas dunia.

“Apabila anda melihat barisan pemain mereka, ia dipenuhi nama-nama besar dari seluruh dunia.

“Pep (Guardiola) pula pengurus yang amat disegani, pencapaian yang pernah diraih cukup untuk menceritakan tentang kehebatannya.

“Saya kena bekerja keras kalau mahu mendapat tempat tetapi itulah yang saya lakukan selama ini. Saya akan lakukan apa sahaja untuk membantu pasukan merangkul kejuaraan,” kata Ake dalam laman web Manchester City.

Pemain antarabangsa Belanda itu turut mengucapkan selamat tinggal kepada kelab lamanya, Bournemouth sejurus selepas menandatangani kontrak.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan Bournemouth sejak beberapa tahun lalu. Saya mempunyai memori indah di Dean Court.

“Pasukan inilah yang membentuk saya menjadi pemain yang bagus,” kata Ake kepada lebih 716,000 pengikutnya dalam Instagram.

Ake telah membuat 109 penampilan sejak menyertai Bournemouth pada 2017, namun memilih untuk pergi selepas pasukan itu terkeluar dari Liga Perdana Inggeris.

Dia adalah pembelian besar kedua City minggu ini selepas pemain sayap Valencia, Ferran Torres yang dibeli pada harga 20.9 juta pound (RM115.4 juta) kelmarin.

Guardiola diberi bajet sehingga 300 juta pound (RM1.65 bilion) bagi mengukuhkan pasukan untuk menyaingi Liverpool musim depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya