KUALA LUMPUR: Dua jaringan Dominique Da Sylva memastikan Terengganu FC bermula langkah kanan apabila aksi Liga Super bersambung hari ini.
Skuad Penyu menumpaskan Petaling Jaya City (PJ City) 2-0 untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Ini adalah perlawanan pertama Liga Super selepas saingan tertangguh lebih lima bulan akibat pandemik Covid-19.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, Da Sylva meletakkan skuad Penyu di depan pada minit ke-30.
Penyerang Mauritania itu menggandakan kedudukan 2-0 selepas melambung bola melepasi penjaga gol lawan, minit ke-72.
Terengganu yang mencatat dua kemenangan, satu seri dan satu kalah dalam empat perlawanan pertama musim ini akan menentang Sabah dalam saingan seterusnya Ahad depan.