PARIS: Beberapa buah kereta dibakar penyokong ekstrem dalam kejadian rusuhan di Champs-Elysees selepas Paris Saint-Germain (PSG) tewas 0-1 kepada Bayern Munich dalam final Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi tadi.
Dilaporkan ribuan penyokong PSG berkumpul berhampiran mercu tanda Arc de Triomphe untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
Bagaimanapun mereka kecewa selepas pemain Bayern, Kingsley Coman merobek harapan kelab gergasi Perancis itu untuk memenangi gelaran Raja Eropah pertama menerusi tandukannya pada minit ke-59.
Beberapa kereta dilihat terbakar dengan anggota bomba memadamkan api yang marak, manakala ada di antaranya yang diterbalikkan.
Terdapat juga suar dilempar merata oleh penyokong, sementara tong sampah turut dibakar di laluan pejalan kaki di Champs-Elysees.
Perancis masih lagi dibelenggu pandemik Covid-19, namun penyokong tetap berdegil dengan berkumpul di Champs-Elysees, selain gelanggang PSG di Parc des Princes sekalipun Paris diwartakan sebagai zon merah.
Pengendali PSG, Thomas Tuchel sangat kecewa dengan keputusan tersebut namun berbangga dengan anak-anak buahnya yang tetap memberikan tentangan sengit sehingga tamat perlawanan.
“Ia satu pertembungan sejati. Saya tidak tahu jika kami boleh menyaksikannya di televisyen. Kami beri segalanya, tetapi kami tertinggal jiwa di atas padang,” kata Tuchel kepada RMC Sport. – AGENSI