KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bersambung secara rasmi esok akan lebih ceria apabila barisan pengadil turut bergaya dengan rekaan jersi baharu berwarna jingga.
Tampil dengan jersi tajaan Kronos, iaitu penaja rasmi pakaian pengadil Liga M musim 2019 hingga 2021 akan memberi kesegaran dan semangat kepada pengadil untuk kembali beraksi selepas saingan tertangguh akibat Covid-19.
“Jersi berwarna jingga akan lebih kerap dan sesuai digunakan dalam perlawanan Liga M kerana kebarangkalian untuk bertembung dengan warna jersi pasukan bertanding sangat rendah.
“Diharap pengadil kita dapat kembali bertugas selepas berehat lima bulan dengan semangat dan motivasi tinggi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Md. Dali Wahid dalam majlis penyerahan jersi itu di Wisma FAM semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Paragon Vest Sdn. Bhd. (Kronos Malaysia), Vincent Lai Wan Onn berkata, pakaian yang ringkas dan kemas antara perkara yang dititikberatkan.
“Dengan variasi warna baharu ditampilkan, diharap barisan pengadil dapat memberikan mutu pengadilan yang mantap dan konsisten sepanjang perjalanan Liga-M,” katanya.
Peminat bola sepak tempatan serta barisan para pengadil yang mahu memiliki koleksi jersi pengadil Liga M boleh mendapatkan di seluruh pengedar sah Kronos di negara atau laman sesawang www.kronossea.com.