KUALA LUMPUR: Skuad muda negara memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan jika mahu menampilkan pasukan terbaik dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 19 (B-19) di Uzbekistan, Oktober depan.
Pengendali skuad Malaysia B-19, Brad Maloney berkata, kekalahan 1-6 kepada kelab Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Khamis lalu mendedahkan kelemahan pasukannya.
Anak-anak buah Maloney dijadual bertemu Selangor II dalam satu lagi aksi persahabatan Rabu ini tetapi belum ada perancangan lain selepas itu.
“Aksi persahabatan penting untuk mendedahkan pemain kepada cabaran yang jauh lebih getir terutama berdepan pemain senior.
“Kita perlukan beberapa lagi perlawanan persahabatan untuk menguji pemain ini dan meningkatkan keyakinan mereka apabila beraksi dalam kejohanan sebenar,” kata Maloney kepada pemberita pada hari ke-12 latihan di Padang PKNS kelmarin.
Kata Maloney, dia berharap anak-anak buahnya dapat menunjukkan peningkatan selepas fasa kedua latihan berakhir 30 Ogos ini.
Sementara itu pemain tengah, Muslihuddin Atiq Mat Zahid mengakui, banyak pengajaran dikutip daripada kekalahan itu.
“Kami sedar banyak lagi perlu dilakukan, terutama hantaran-hantaran kami kurang kemas.
“Saya masih bergelut dengan kecederaan sejak September lalu. Apabila cergas sepenuhnya, saya mahu merebut tempat dalam senarai 23 pemain ke Uzbekistan,” kata pemain Terengganu FC itu.
Sesi latihan fasa ketiga akan bersambung pada September iaitu sebaik sahaja latihan fasa kedua berakhir hujung bulan ini.
Kejohanan AFC B-19 amat penting buat Malaysia kerana ia menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20 tahun depan.
Dua pasukan terbaik akan melayakkan diri ke kejohanan yang berlangsung di Indonesia.