ALOR SETAR: Selepas lebih lima bulan menunggu, pemain dan barisan kejurulatihan Lang Merah akhirnya menerima bayaran tunggakan sebulan gaji untuk bulan Julai yang dimasukkan ke dalam akaun masing-masing semalam.
Pada masa sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor memberi jaminan tunggakan gaji empat bulan lagi dari Mac hingga Jun akan selesai sebelum musim ini berakhir.
“Jaminan saya, semua ini akan selesai musim ini juga. Kita takkan keluar dari musim ini dengan bawa hutang dan itu janji saya,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama para pemain di Seri Mentaloon di sini malam tadi.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menambah, beliau juga sudah mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan menyusun semula jadual pembayaran caruman yang tertunggak sejak 2019.
“Saya menzahirkan penghargaan terhadap kesabaran dan komitmen anggota pasukan, dan memohon maaf bagi pihak pengurusan lama dan baharu ekoran isu yang melanda pasukan kini,” katanya lagi.
Selain itu, katanya, KFA masih mengadakan rundingan dengan penaja musim ini yang masih belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak.
“Kita faham perniagaan mereka mungkin terjejas akibat Covid-19, tetapi di pihak KFA, kita telah menunaikan komitmen seperti dalam kontrak dan kini masanya untuk pihak penaja tunaikan komitmen mereka pula,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kemungkinan memotong gaji pemain, Muhammad Sanusi berkata, perkara tersebut akan dibincang antara kedua-dua belah pihak.
“Tentang pemotongan gaji untuk tempoh bulan-bulan seterusnya selepas ini, perkara itu belum diputuskan KFA. Saya rasa pemain pun tak suka gaji mereka dipotong dan kita akan bincang dalam KFA dulu,” katanya.