KUALA LUMPUR: Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah terharu melihat semangat anak-anak buahnya membenam UKM FC 5-1 dalam aksi Liga Perdana semalam biarpun masih dibelenggu isu tunggakan gaji.
Hatrik bintang muda, Hakimi Abdullah, selain dua gol penyerang Nigeria, Felix Chidi Odili memastikan kemenangan The Red Warriors (TRW) di Stadium Selayang.
Perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung pada 6 Mac lalu ditunda ke tarikh baharu dan ditangguh sekali lagi akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Saya sendiri terkejut dengan prestasi dan semangat pemain. Mereka bermain demi nama dan maruah negeri tanpa memikirkan masalah yang dihadapi dalam pasukan.
“Pemain memahami erti perjuangan sebenar, sering saya ingatkan bermain dengan kejujuran dan keikhlasan pasti akan datang ganjarannya.
“Ini peluang pemain mempromosikan diri untuk masa depan lebih baik,” kata Yusri kepada pemberita semalam.