KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak akan membenarkan mana-mana pasukan beraksi dalam Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tindakan itu perlu dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pemain kerana bimbang akan menjejaskan kelancaran kejohanan.
Naib Presiden 1 PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, antara peraturan yang ditetapkan termasuk setiap pemain serta pegawai pasukan perlu melakukan ujian calitan (swab).
Katanya, setiap pasukan perlu menghantar keputusan ujian dua minggu sebelum pertandingan bermula atau tindakan akan dikenakan kepada pasukan yang gagal.
“Mereka yang gagal menghantar keputusan ujian tidak akan dibenarkan beraksi.
“Pasukan bertanding juga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kami bimbang berlaku jangkitan yang akan menjejaskan sukan ini serta PSM secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Di sebalik Covid-19 yang melanda dunia, PSM tetap menganjurkan STL 2020 bermula 18 September hingga 22 November ini.