KUALA LUMPUR : Walaupun belum cergas sepenuhnya, nama Goh Jin Wei tetap disenaraikan dalam skuad Piala Uber di Aarhus, Denmark Oktober ini.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu masih menjalani pemulihan selepas melakukan pembedahan usus hujung tahun lalu dan belum cukup cergas untuk menyertai kejohanan besar dalam masa terdekat.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, mereka akan memantau perkembangan pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA 2017 itu sebelum keputusan akhir dibuat.
Ketika ini, Jin Wei, 20, tidak dibenarkan beraksi dalam Kejohanan Jemputan BAM minggu depan kerana belum mencapai tahap intensiti yang ditetapkan.
“Kami perlu dengar saranan doktor. Jin Wei perlu dipantau bagi mengelak berlakunya kecederaan baharu.
“Buat masa sekarang, namanya ada dalam senarai Piala Uber dan kami ada lima ke enam minggu sebelum menghantar senarai nama akhir,” kata Choong Hann yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.
Jin Wei sebelum ini terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan usus Oktober lalu selepas sekian lama mengalami masalah sembelit serius.