MADRID: Neymar tidak berminat lagi untuk kembali ke Barcelona tetapi Lionel Messi mungkin menyertainya di Paris, kata ejen pemain itu, Wagner Ribeiro.
Media Sepanyol semalam melaporkan, Messi memberitahu pengurus baharu Barcelona, Ronald Koeman dia tidak lagi melihat masa depannya di Camp Nou.
Kata Ribeiro, ia adalah perkembangan menarik dan mungkin membawa kepada penghijrahan Messi ke Perancis.
“Dulu Neymar memang bersedia kembali ke Barcelona atau menyertai Real Madrid tetapi sekarang tidak. Saya boleh nampak dia gembira di sini.
“Dia tiada sebab hendak meninggalkan PSG, malah saya ada bergurau dengannya…hidup di bandar yang dipenuhi cahaya, keseronokan dan rumah yang cantik.
“Dia juga ditemani rakan-rakan rapat serta keluarga dan beraksi buat pasukan terbaik dunia.
“Bukankah itu sudah cukup sempurna,” kata Ribeiro kepada majalah sukan Brazil, Placar.
Kata Ribeiro, melihat Barcelona melalui musim yang buruk ditambah kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara, mencetus kemungkinan Paris akan menjadi destinasi seterusnya buat Messi.
Lebih menarik lagi katanya, jika Cristiano Ronaldo yang kini berada di Juventus turut menyertai mereka untuk membentuk trio paling hebat di muka bumi.
Neymar, 28, yang menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dikaitkan dengan kepulangan semula ke Camp Nou selepas gergasi Sepanyol itu mahu melakukan ‘pembersihan’ besar-besaran ekoran prestasi buruk mereka musim ini. – AGENSI