LONDON: Lionel Messi akan bersara sebagai pemain Barcelona dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi, kata Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu.
Kontrak pemenang anugerah Ballon d’Or enam kali itu bakal berakhir musim depan, namun Bartomeu menjangkakan Messi akan menandatangani kontrak lanjutan.
Pemain berusia 33 tahun dikaitkan akan kembali ke pasukan di mana dia membina karier, Newell’s Old Boys sebelum berhasrat menggantung but.
Bagaimanapun, Bartomeu tidak ragu-ragu penjaring terbanyak sepanjang zaman itu akan menamatkan karier bersama skuad Catalan, mungkin pada 2023.
“Bukan saya seorang yang cakap seperti ini, Messi pun berkata tentang perkara sama. Dia mahu menamatkan karier di Barcelona.
“Saya tidak ragu-ragu dia akan menamatkan karier bola sepak dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi di Barcelona.
“Messi juga jelas. Dia berada di sini sejak kecil. Pelbagai kisah mewarnainya. Dia tahu tentang selok-belok Barcelona dan dia juga memahat sejarah tersendiri bersama kelab.
“Dia pemain terbaik dunia bukan hanya hari ini tetapi sepanjang sejarah bola sepak,” kata Bartomeu kepada beIN SPORTS.– AGENSI