Mercedes tidak ‘berjalan di taman’ - Utusan Malaysia

Mercedes tidak ‘berjalan di taman’

MAX Verstappen bersama pasukan Red Bull. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Selepas selesa mengharungi empat perlumbaan pertama 2020, pasukan Formula Satu (F1) Mercedes mula terasa bahang dan melihat pemandu Red Bull, Max Verstappen sebagai ancaman terbesar.

Pemanduan hebat Verstappen ketika menjuarai Grand Prix (GP) Ulang Tahun Ke-70 di Litar Silverstone minggu lalu memberi peringatan kepada dua pelumba mereka, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

Biarpun mengekori di tangga kedua di Silverstone, namun juara dunia, Hamilton ditinggalkan 11.326 saat manakala Bottas berada di tempat ketiga dengan ketinggalan 19.231s.

“Sebenarnya saya suka ­situa­si sekarang sebab semua orang asyik bercakap tentang Mercedes ‘berjalan di taman’ (mengharungi saingan mudah).

“Tidak, ia bukan begitu dan kami tidak berjalan di taman.

“Kami sebenarnya tidak memiliki kereta paling pantas dan saya telah berulang kali beritahu perkara ini. Ia agak rumit untuk dijelaskan tapi kami bersedia memberi cabaran.

“Mungkin, kami ada pakej terbaik. Ia me­rangkumi kelajuan, daya tahan kereta, tayar dan kerja-kerja peringkat bawahan. Penyela­rasan juga amat penting.

“Saya sangat teruja untuk melihat bagaimana cabaran yang akan kami berikan di Barcelona nanti (GP Sepanyol, hujung minggu ini).

“Kami bakal berdepan cabaran hebat, jadi semua kena betul-betul faham dan sudah menjangkakan apa yang perlu dibuat,” kata Prinsipal Mercedes F1, Toto Wolff.

Kejayaan menjuarai perlumbaan di Silverstone meletakkan Verstappen kini di tangga kedua dalam kedudukan pendahulu dunia dengan 77 mata, 30 mata di belakang Hamilton.

Bos Red Bull, Christian Horner sebelum ini berkata, dia hanya menunggu masa sebelum mengisytiharkan Verstappen sebagai prospek juara dunia.

“Susah nak kata (Verstappen mampu kekal momentum).

“Saya rasa, kami menang minggu lalu kerana Mercedes tidak me­nunjukkan prestasi sebenar berbanding beberapa perlumbaan sebelumnya.

“Mungkin selepas dua atau tiga perlumbaan lagi baru kami dapat gambaran jelas. Kita tunggu dulu,” kata Horner kepada Motorsport.com.

Bottas menjuarai perlumbaan sulung 2020 di Austria 5 Julai lalu sebelum Hamilton memenangi tiga saingan berikutnya – GP Steiermark (12 Julai), Hungary (19 Julai) dan Britain pada 2 Ogos. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya