KUALA LUMPUR: Sebak hingga menitiskan air mata.
Itu perasaan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika diberi tanggungjawab menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik Rio 2016.
Chong Wei terdetik untuk mengimbau detik istimewa itu sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 hari ini.
Bekas pemain No. 1 dunia itu turut berkongsi kisah di sebalik detik bersejarah yang menyaksikan dia hampir terlepas tugas tersebut gara-gara tangan bengkak akibat terkena raket ketika sesi latihan.
“Motivasi masa itu memang setinggi Gunung Kinabalu. Diminta latihan yang lagi intensif. Malang sungguh tak berbau, dalam satu pukulan lift, raket terpukul tangan kiri.
“Tergamam semua. Saya ingat mungkin patah tangan kiri. Nasib baik selepas diperiksa doktor, tulang selamat tapi perlu dibalut ais untuk meredakan bengkak.
“Petang itu, kami kontinjen Malaysia semua beransur ke Stadium Maracana. Perempuan pakai baju kebaya oren. Lelaki pakai songkok dan baju Melayu oren.
“Memang team paling handsome (kacak) paling lawa malam itu. Pihak penganjur datang membawa bendera Malaysia.
“Baru ingat nak main kibar bendera macam wayang perang Samurai, terus jam. Amboi! Berat juga si Jalur Gemilang ini,” katanya dalam Instagram.
Kata Chong Wei, walaupun tangan kirinya amat sakit menampung berat Jalur Gemilang, namun dia tetap meneruskan tanggungjawab.
Kata Chong Wei, rakan-rakan yang melihat kesukarannya meminta dia berehat, tetapi demi rasa bangga dia tetap menggagahkan diri untuk terus berjalan.
Beberapa minit sebelum perarakan masuk stadium, dia sempat berborak dengan atlet Madagascar yang beratur di depan kontinjen negara yang menyatakan bendera Malaysia sangat cantik tapi agak rumit berbeza corak bendera mereka yang ringkas.
“Entah dari mana datangnya semangat, pandai pula saya jawab. Brother, ini bukan sekadar bendera. Ia lambang perpaduan satu keluarga besar.
“Ia Negara saya. Ia satu tempat di mana keharmonian dan kebahagiaan dihargai dan dikecapi. Ia keluarga saya, rumah syurga saya.
“Kemudian, mulalah perarakan kontinjen Malaysia ke dalam Stadium Maracana. Terbasah sikit juga di mata.
“Bukanlah kerana sakit di tangan tetapi kebanggaan menjulang bendera Malaysia, menjulang harapan jutaan rakyat Malaysia, menjulang nama negaraku, rumahku, Malaysiaku,” katanya.
Selamat Hari Jadi ke-63, Malaysiaku. ??