BARCELONA: Lionel Messi membawa Barcelona menempah pertemuan dengan Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Napoli, awal pagi tadi.
Dalam aksi yang dipenuhi drama video bantuan pengadil (VAR) di Camp Nou, Barcelona menang 3-1, sekali gus mara secara agregat 4-2.
Selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama, pusingan 16 akhir Februari lalu, kedua-dua pasukan bermain agresif untuk mencari gol.
Juara lima kali, Barcelona terlebih dulu memperoleh jaringan seawal minit ke-10 selepas Clement Lenglet menanduk sepakan penjuru Ivan Rakitic.
Messi menggandakan kedudukan pada minit ke-23 dengan penuh bergaya apabila melepasi kawalan tiga pertahanan lawan, melepaskan rembatan di celah dua pemain Napoli yang lain sebelum menewaskan penjaga gol, David Ospina.
Dia berpeluang menambah gol keduanya tujuh minit kemudian tetapi jaringan kapten Barcelona itu dibatalkan selepas VAR mendapati bola sudah terkena tangan ketika menerima hantaran Frenkie de Jong.
Pengadil sekali lagi menggunakan VAR ketika menghadiahkan penalti kepada Barcelona pada waktu kecederaan babak pertama selepas Kalidou Koulibaly menjatuhkan Messi.
Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti untuk membolehkan Barcelona selesa mendahului 3-0.
Drama babak pertama berterusan tidak lama sebelum wisel ditiupkan apabila Napoli pula dihadiahkan sepakan penalti selepas Rakitic menjatuhkan Dries Mertens.
Lorenzo Insigne menyempurnakan sepakan penalti untuk Napoli merapatkan jurang 3-1.
“Ini adalah langkah pertama yang kami mahukan. Harap pemain dapat mengekalkan prestasi dalam aksi seterusnya.
“Pasukan bermain baik dan berhak menang. Semua lawan yang tinggal di suku akhir sangat kuat, ia akan menjadi perlawanan yang rumit.
“Ya, Bayern adalah pasukan yang hebat tetapi kami juga hebat,” kata pengurus Barcelona, Quique Setien. – AGENSI