KUALA LUMPUR: Biarpun seperti berlumba ‘tanpa tangan’, namun persembahan dan semangat pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dalam Grand Prix (GP) Republik Czech di litar Brno kelmarin wajar diberi pujian.
Pelumba Petronas Yamaha SRT itu berkata, dia tidak menyangka dapat menamatkan perlumbaan kerana sukar merasai jarinya, terutama ketika menarik picu brek.
“Seakan saya tidak merasa tangan saya. Saya cuba untuk meneruskan perlumbaan dan akhirnya berjaya menamatkannya. Rentak saya tidaklah mengecewakan.
“Pelumba di kedudukan 11 dan 10 teratas mempunyai rentak yang sama, cuma saya bermula dari petak belakang, jadi agak sukar untuk memintas mereka.
“Bagaimanapun, saya tetap gembira berjaya menamatkan perlumbaan.
“Sudah pasti untuk perlumbaan seterusnya saya akan buat lebih baik dan cuba bersaing mendapatkan mata,” kata Khairul atau dikenali sebagai Kip.
Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu mengalami kecederaan tangan setelah terlibat dalam kemalangan pada sesi kelayakan kedua di Brno.
Menurutnya, agak malang jika dia tidak mampu meneruskan perlumbaan biarpun mengalami kecederaan berikutan prestasi baik yang ditunjukkan dalam dua sesi kelayakan sejak Jumaat lalu.