DUSSELDORF: Romelu Lukaku mencipta rekod meledak gol dalam sembilan perlawanan Liga Europa berturut-turut untuk membantu Inter Milan mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan Bayer Leverkusen 2-1 di Esprit Arena, awal pagi tadi.
Pemain muda Inter, Nicolo Barella membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti sebelum Lukaku meletakkan pasukannya selesa mendahului 2-0 pada minit ke-20.
Begitupun, empat minit kemudian Kai Havertz berjaya merapatkan jurang buat Leverkusen.
Dalam perlawanan itu juga menyaksikan Inter dua kali diberikan sepakan penalti pada awalnya sebelum dibatalkan semula selepas pengadil merujuk video bantuan pengadil (VAR).
Kemaraan itu menyaksikan, skuad bimbingan Antonio Conte bakal berdepan sama ada Shakhtar Donetsk atau FC Basel di separuh akhir.
“Bagi saya pemain terbaik perlawanan adalah Nicolo Barella.
“Cara permainannya cukup matang, berkualiti dan mudah. Dia benar-benar pemain yang hebat,” kata Lukaku selepas tamat perlawanan. – AGENSI