LONDON: Pertahanan Manchester United, Victor Lindelof menerima pujian apabila membantu menangkap pencuri yang mengambil beg tangan seorang warga emas.
Bintang Sweden itu bersama isterinya, Maja dan anak lelaki mereka sedang menikmati tempoh rehat sebelum skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer kembali memulakan latihan pramusim minggu depan.
Lindelof muncul wira semalam apabila bertindak menangkap seorang lelaki kerana mencuri.
Polis dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan seorang lelaki berusia 30-an telah mencuri beg kepunyaan warga emas sekitar 90-an.
Suspek yang ketika itu sedang berbasikal merampas beg mangsa yang diletakkan dalam bakul di laluan pejalan kaki.
Suspek kemudian melarikan diri, namun berjaya diberkas seorang lelaki yang difahamkan adalah Lindelof sebelum polis tiba lima minit kemudian.
“Kami ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada saksi atas bantuan yang cepat dan bijak kerana berjaya menangkap pencuri,” kata kenyataan itu.- AGENSI