LISBON: Pengendali RB Leipzig Julian Nagelsmann mengakui, Paris Saint-Germain (PSG) beraksi jauh lebih baik berbanding pasukannya dalam separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Katanya, kekalahan 0-3 kepada gergasi Perancis itu berpunca daripada kesilapan sendiri, selain kegagalan memanfatkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
“Pada akhirnya lawan lebih bagus berbanding kami, kami perlu menerima hakikat itu. PSG bermain dengan sangat baik ketika kami melakukan banyak kesilapan.
“Kami bermain dengan baik pada 10 hingga 12 minit pertama malangnya kesilapan membuka kepada gol pembukaan menerusi situasi bola mati.
“Ia disusuli gol kedua menyebabkan kami sukar untuk bangkit kerana PSG pasukan yang amat berkualiti,” kata Nagelsmann.
Leipzig yang ditubuhkan pada 2009 mara ke kelompok empat terakhir buat pertama kali dalam sejarah singkat kelab hasil bimbingan Nagelsmann pada musim pertama.
“Kami mara ke separuh akhir, ia boleh dibanggakan. Kami bukan pasukan pertama gagal menghalang Neymar dan kami akan melakukannya suatu hari nanti,” katanya.
Neymar cemerlang dengan melakukan dua bantuan gol buat Marquinhos dan Di Maria untuk PSG selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bek kiri Juan Bernat melengkapkan kemenangan juara Perancis itu pada minit ke-55 untuk menempah pertemuan final dengan pemenang antara Bayern Munich dan Lyon. – AGENSI