LONDON: Alexandre Lacazette menggunakan media sosial untuk mengejek penyerang Chelsea, Olivier Giroud selepas membantu Arsenal merangkul Piala FA di Wembley, hari ini.
Dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang membolehkan Gunners bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan skuad bimbingan Frank Lampard, Chelsea 2-1, sekali gus menjulang Piala FA ke-14.
Terdahulu, Christian Pulisic meletakkan Blues di depan seawal minit kelima, namun Aubameyang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas dijatukan oleh Cesar Azpilicueta.
Penyerang Gabon itu meledak gol kemenangan pada minit ke-67, tidak lama sebelum pemain Chelsea, Mateo Kovacic dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua.
Sejurus tamat perlawanan, Lacazette memuat naik ucapan tahniah yang diterimanya berserta wajah kecewa Giroud dan dua emoji menari.
Giroud pernah menyarung jersi Arsenal dari 2012 hingga 2018, sebelum menyertai Chelsea dua tahun lalu. – AGENSI