LIVERPOOL: Liverpool perlu mengorbankan pemain sedia ada jika mahu melengkapkan perpindahan bintang tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara.
Pengendali Reds, Jurgen Klopp sedang mencari siapa pemain paling kurang memberi sumbangan dan dapat dijual pada harga yang membolehkan mereka membeli Thiago iaitu sekitar 27 juta pound (RM148 juta).
Antara yang mungkin dilepaskan untuk memberi ruang kepada Thiago adalah pemain yang kerap dihimpit kecederaan, Naby Keita.
Pemain antarabangsa Guinea itu tidak banyak beraksi sejak tiba di Anfield dari RB Leipzig pada 2018 kerana sejarah kecederaan yang panjang.
Reds perlu segera membuat keputusan kerana Bayern sudah memberi ‘lampu hijau’ untuk melepaskan Thiago, 29.
“Saya boleh faham kalau ada pemain berfikir tentang perpindahan.
“Thiago pernah bermain bersama Barcelona di Sepanyol dan beraksi buat Bayern dalam Bundesliga (liga Jerman).
“Mungkin dia mahu mengembangkan sayap ke Liga Perdana, jadi saya memahaminya,” kata Pengurus Bayern, Hansi Flick kepada Sport1.
Kata Flick, biarpun pemain tengah Sepanyol itu ada dalam perancangannya, namun dia sedia melepaskannya jika itu adalah permintaan Thiago sendiri.
Thiago yang masih memiliki kontrak sehingga 2021 secara terbuka menegaskan, dia tidak mahu menyambung perjanjian dan berminat untuk mencuba nasib di England.
Sejak menyertai Bayern pada 2013 dia telah merangkul 15 trofi, malah berpeluang melengkapkan kejuaraan treble musim ini. – AGENSI