LONDON: Arturo Vidal mengakui akan menjadi pemain paling bertuah jika Andrea Pirlo yang juga pengendali Juventus berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Pemain kebangsaan Chile itu antara jentera yang bakal ‘ditendang’ jurulatih baharu Barcelona, Ronald Koeman dalam usaha memperbaharui struktur bola sepak kelab gergasi Sepanyol itu.
Pemain berusia 33 tahun itu telah membuat 171 penampilan selama empat tahun di Turin antara 2011 dan 2015, dengan membantu mereka memenangi tujuh kejohanan besar termasuk empat gelaran berturut-turut Serie A.
Vidal dan Pirlo masing-masing mempunyai persamaan iaitu menduduki posisi sama di bahagian tengah serta masuk dan keluar Juve pada tahun yang sama.
“Dia (Andrea) sangat menakjubkan ketika bermain, bayangkan jika dia seorang jurulatih. Jika Juventus panggil saya semula, saya sangat gembira.
“Saya banyak kenangan terindah bersama Juventus dan Andrea. Saya mempunyai empat tahun yang menakjubkan di Juventus.
“Saya mula mengembangkan karier saya di Turin. Juventus datang dari tempat ketujuh dan ia sangat mencabar dan memerlukan taktikal terperinci, jauh beza dari Jerman (ketika di Bayer Leverkusen).
“Dengan ramai pemain bertaraf bintang dan segala cabaran akhirnya menjadikan saya pemain penting di kelab Itali itu,” katanya menerusi saluran Youtube, Daniel Habif semalam. – AGENSI