KUALA LUMPUR: Leong Jun Hao mengorak langkah pertama dalam misi memburu slot Piala Thomas apabila mengejutkan Liew Daren dalam aksi sulung Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Beraksi atas tiket juara Divisyen 2, Jun Hao mengalahkan pemain paling berpengalaman dalam Divisyen 1, Daren 15-21, 21-14, 21-16 di Bukit Kiara.
Bekas juara remaja Asia berusia 21 tahun itu bagaimanapun enggan terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan kerana perjalanannya masih panjang.
Kata Jun Hao beraksi dalam Divisyen 2 minggu lalu banyak membantu mempersiapkan diri untuk berdepan lawan yang jauh lebih berpengalaman.
“Saya baru dapat tahu akan jumpa Daren, Isnin lalu.
“Ini kali pertama saya menentang dia, pemain paling berpengalaman dalam kejohanan. Sudah pasti kemenangan bagi saya lebih keyakinan.
“Memang kejohanan ini bukan penentu pemilihan pemain (Piala Thomas), namun saya tetap sasar empat terbaik dan berharap dapat dipilih dalam skuad negara,” kata Jun Hao.
Dalam satu lagi saingan perseorangan lelaki, pemain profesional, Soong Joo Ven tewas mengejut 18-21, 12-21 kepada Ng Tze Yong, manakala perseorangan wanita, Lee Ying Ying pula tunduk 15-21, 9-21 di tangan Eoon Qi Xuan.
Aksi Divisyen 1 yang bermula semalam menampilkan 52 pemain dalam semua lima acara. Ia menggunakan format round-robin, yang mana dua terbaik akan berentap pada final, Ahad ini.
Bagaimanapun beberapa pemain utama wanita tidak dapat beraksi termasuk Goh Jin Wei dan S. Kisona (perseorangan), selain Vivian Hoo (beregu) kerana kecederaan.