KUALA LUMPUR: Bukan masalah, sebaliknya sesuatu yang normal apabila Malaysia diundi bersama musuh tradisi, Indonesia dalam Kumpulan A pada Piala Thomas di Aarhus, Denmark 3-11 Oktober depan.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, biarpun berdepan tugas getir, namun Malaysia optimis menamatkan kempen dalam kedudukan dua teratas untuk mara ke suku akhir.
Laluan pasukan negara bagaimanapun akan lebih baik jika berjaya muncul juara Kumpulan A, yang turut dibarisi England dan Belanda.
“Kami harus menang dengan England dan Belanda untuk pastikan kita dapat tempat kedua dalam kumpulan A sekali gus mara ke peringkat seterusnya.
“Kalau boleh kita mahu jadi juara kumpulan untuk mendapat undian yang lebih baik, tetapi kita tahu Indonesia macam mana. Mereka pilihan utama dan ia tidak mudah,” kata Hendrawan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dua tahun lalu di Bangkok, Malaysia gagal melepasi sasaran separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada Indonesia.
Dalam undian yang dilakukan di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini semalam, skuad Piala Uber turut diundi bersama Indonesia.
Selain Malaysia dan juara tiga kali, Indonesia, Kumpulan B akan turut dibarisi juara 2010 yang juga pilihan ketiga, Korea Selatan dan Australia.