KUALA LUMPUR: Selepas lima bulan berehat akibat Covid-19, Kelantan amat bersemangat memulakan Liga Malaysia (Liga M) apabila membelasah UKM FC 5-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.
Itu adalah perlawanan pertama Liga M selepas saingan berehat panjang, dan aksi meyakinkan The Red Warriors (TRW) pasti melegakan penyokong ketika pasukan itu masih belum ‘keluar’ dari isu tunggakan gaji.
Penyerang berbisa, Hakimi Abdullah muncul pemain pertama meledak hatrik dalam saingan Liga M musim ini.
Dia membuka tirai jaringan pasukan pelawat menerusi sepakan percuma cantik yang menyaksikan bola terus menerjah jaring.
Tuan rumah bagaimanapun mengikat kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti penyerang import dari Nigeria, Akanni Sunday pada minit terakhir babak pertama.
Sepakan itu diperolehi selepas pertahanan Kelantan melakukan kekasaran ke atas Faiz Hanif Adnan dalam kotak penalti ketika perebutan bola di udara.
Bersambung babak kedua, Kelantan sepatutnya memperoleh gol kedua namun rembatan deras Lazarus Kaimbi pada minit ke-50 yang melepasi garisan sebelum melantun keluar tidak disahkan pengadil.
Walaupun kecewa dengan keputusan kontroversi itu, namun serangan Kelantan tidak berputus asa, sebaliknya mereka terus mengatur gerakan demi gerakan untuk menembusi gawang tuan rumah dan hasilnya Hakimi sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-52.
Skuad kendalian Yusri Che Lah terus selesa mendahului dan kali ini menerusi penyerang Nigeria, Felix Chidi Odili pada minit ke-65 sebelum dia menambah gol keduanya, 10 minit kemudian.
Hakimi melengkapkan hatrik pada minit ke-88 untuk menghadiahkan kemenangan bergaya buat Kelantan.
Kelantan kekal di tangga ketujuh liga dengan empat mata, berkongsi mata bersama UKM tetapi dibezakan oleh jaringan.