KUANTAN: Johor Darul Ta’zim (JDT) memusnahkan hasrat Pahang untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata apabila menewaskan Tok Gajah 2-3 di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Sememangnya Harimau Selatan hadir ke Stadium Darul Makmur dengan misi tiga mata penuh apabila seawal minit kelima telah memperoleh gol pertama menerusi jaringan Leandro Velezquez.
Berselang 10 minit selepas itu, Tok Gajah terus dihukum dengan gol kedua oleh Mohd. Ramadhan Saifullah Usman yang berjaya mengelicik beberapa pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan sepakan terus ke dalam jaring Pahang.
Minit ke-34, JDT memperolehi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro selepas Herold Goulan menjatuhkan Mohd. Ramadhan ketika pergelutan di kawasan kotak penalti Pahang.
Disangka JDT akan terus berpesta gol, namun pemain Pahang khususnya barisan pertahanannya menafikan serangan berterusan pemain JDT.
Akhirnya, pada minit ke-40, Tok Gajah memperoleh gol pertama hasil kesilapan Mohd. Farizal Marlias yang membolehkan Faizal Halim merampas bola dari kaki penjaga gol JDT itu.
Pada minit ke-45, Goulan berjaya merapatkan kedudukan menjadi 2-3 apabila menanduk cantik bola hasil sepakan sudut.
Pada separuh masa kedua, perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi tiada gol dihasilkan.