SILVERSTONE: Lewis Hamilton teruja dengan persaingan yang diberikan oleh Max Verstappen selepas pemandu Red Bull itu menewaskan pasukan Mercedes buat kali pertama musim ini untuk menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Ulang Tahun ke-70 semalam.
Kata pemandu Mercedes itu, kebangkitan Verstappen membuktikan mereka tidak boleh mengambil ringan cabaran musim ini dan menjadikan dia lebih bersemangat untuk berlumba.
“Ia sesuatu yang bagus. Saya mahukan perlumbaan yang penuh cabaran, jadi saya gembira melihat persaingan hari ini.
“Jentera Red Bull semakin menghampiri kami, malah hari ini mereka lebih kuat. Bermakna, mereka tidaklah memiliki pakej yang teruk seperti yang difikirkan ramai orang,” kata Hamilton.
Meskipun menduduki tangga kedua di belakang Verstappen, namun Hamilton masih mengungguli kedudukan pendahulu dunia dengan 30 mata.
“Persaingan akan menyaksikan perlumbaan musim ini lebih menarik. Saya tidak fikir perlumbaan selepas ini lebih mudah,” kata pemandu Britain itu.
Dalam perlumbaan di Litar Silverstone semalam, Verstappen mengejutkan dua pemandu Mercedes apabila mengungguli saingan dengan catatan masa satu jam, 19 minit 41.993 saat – 11.326s mengatasi Hamilton.
Seorang lagi pemandu Mercedes, Valtteri Bottas melengkapkan podium ketiga, manakala Charles Leclerc dari pasukan Ferrari di tempat keempat.
Bottas memenangi perlumbaan pembuka tirai 2020, GP Austria pada 5 Julai, namun Hamilton memenangi tiga saingan berikutnya – GP Styrian (12 Julai), GP Hungary (19 Julai) dan GP Britain 2 Ogos lalu. – AGENSI