BARCELONA: Lewis Hamilton merangkul kejuaraan ke-88 dalam karier Formula Satu (F1) dan menaiki podium ke-156 selepas mengungguli Grand Prix (GP) Sepanyol malam tadi.
Ini juga kemenangan kelima buat pemandu Mercedes itu di Sepanyol dan keempat berturut-turut.
Hamilton menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 24 saat berbanding seteru terdekat, Max Verstappen dari Red Bull.
Rakan sepasukannya, Valtteri Bottas pula meraih podium ketiga selepas ketinggalan 20 saat di belakang Verstappen.
Kemenangan itu menyaksikan Hamilton mendahului kejuaraan pemandu dunia dengan kelebihan 37 mata berbanding Verstappen.
Ia juga meletakkan pemandu Britain itu pada landasan terbaik untuk memburu gelaran dunia ketujuh. – AGENSI