KUALA LUMPUR: Mungkin memakan masa sehingga lima hari untuk pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjalan tanpa menggunakan tongkat, sekali gus membuka peluangnya kembali berlumba pada saingan seterusnya di Grand Prix (GP) San Marino, 13 September ini.
Mengesahkan terlepas untuk berlumba di trek ‘berhantu’ di Red Bull Ring sekali lagi dalam GP Styria hujung minggu ini, penunggang Aspar Team itu mempunyai lebih tiga minggu untuk berehat dan pulih menjelang perlumbaan di Itali bulan depan.
Jelas Hafizh, jarak masa seminggu selepas terbabit dalam insiden tersebut menyukarkannya untuk cergas dan kembali berlumba di GP Styria meskipun memiliki semangat yang tinggi untuk melakukannya.
“Saya tak dapat nak berlumba Ahad ini. Jarak untuk saya berehat tak lama, saya terbabit dalam kemalangan pada Ahad dan sekarang baru Khamis. Memang ada peningkatan saban hari tapi saya belum cergas sepenuhnya.
“Sekarang saya dalam 70 peratus sudah pulih dan akan naik kepada 90 peratus selepas ini sebab hari demi hari saya ada peningkatan (kecergasan).
“Jika anda tanya tinggal lagi berapa hari (untuk pulih sepenuhnya), mungkin ambil masa antara empat hingga lima hari untuk saya berjalan tanpa menggunakan tongkat dan lebih laju,” katanya kepada Aspar Team, semalam.
Ahad lalu, Hafizh terselamat daripada kemalangan ngeri di Litar Red Bull Ring selepas gagal mengelak motosikal penunggang Italtrans, Enea Bastianini yang terjatuh.
Sementara itu, pelumba kelahiran Selangor itu memberitahu terdapat beberapa ujian fizikal yang perlu dilaluinya sebelum doktor menasihatkan agar Hafizh berehat daripada berlumba.
“Jika anda tanya tentang perasaan, saya memang mahu berlumba dan menang di sini. Tetapi apakan daya, saya masih rasa sakit. Semasa doktor memeriksa saya, dia tekan otot tempat sakit itu, dan saya rasa sakit sangat.
“Kemudian dia suruh berjalan tanpa menggunakan tongkat beberapa meter, tapi saya berjalan sangat perlahan.
“Tidak, lebih baik anda berehat dan jalani fasa pemulihan’, kata doktor,” ujar Hafizh yang bakal digantikan dengan Alejandro Medina dalam saingan GP Styria hujung minggu ini.