KUALA LUMPUR: Entah apa puncanya sehingga pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencetuskan 1001 persoalan berhubung kariernya dalam kejuaraan motosikal dunia.
Pelumba berusia 26 tahun itu memuat naik status di Instagram Story mengucapkan selamat tinggal dunia permotoran selepas 13 tahun dalam arena perlumbaan.
“Akhir 2020 13 tahun dalam motorsports bye2,” tulis penunggang Aspar Team itu dalam Instagram miliknya.
Terdapat pelbagai persoalan timbul susulan status tersebut, namun difahamkan Hafizh tidak mempunyai masalah dengan pasukannya, Aspar.
Hafizh memiliki hubungan baik dengan pasukannya kerana pernah bekerjasama dengan krew mereka ketika beraksi dalam saingan CEV.
Selang beberapa jam, pelumba tersebut memuat naik gambar dengan kata-kata, seperti ingin meluahkan sesuatu.
“Anda mungkin boleh menyembunyikan perasaan anda kepada orang lain, tetapi Allah tahu anda sedang bergelut.
“Teruskan berjuang dan berharap untuk hari yang lebih baik. Akan ada ganjaran kepada sesiapa yang bersabar,” tulisnya.
Dalam perkembangan lain, pelumba kelahiran Selangor itu akan menyertai perlumbaan Grand Prix (GP) Austria esok dengan menyifatkan litar Red Bull Ring di Spielberg itu sebagai antara trek kegemarannya.
“Di Austria, saya harap saya dapat meningkatkan prestasi dan menjadi lebih kuar serta mahu memberi tentangan sengit dari awal.
“Saya sangat sukakan litar Red Bull Ring kerana ia trek henti dan pecut. Pada 2017, yang juga tahun terakhir saya di Moto2, saya dapat keputusan baik di sana (tangga ke-10).
“Sekarang saya mahu memulakan GP ini dengan kuat dan kekal sebegitu ketika dua minggu di sini,” katanya di laman sesawang Aspar Team.