KUALA LUMPUR: Semangat Hafizh Syahrin Abdullah mungkin tinggi, namun kaki yang masih sakit akibat kemalangan ngeri minggu lalu memaksa pelumba Moto2 negara itu menarik diri daripada Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring, Spielberg Ahad ini.
Penarikan diri pelumba kelahiran Selangor itu diumumkan Aspar Team dalam Facebook rasmi pasukan sebentar tadi.
“Hafizh disahkan tidak cergas untuk berlumba di Austria hujung minggu ini.
“Dia akan cuba kembali dalam GP San Marino (13 September). Semoga cepat sembuh,” tulis Aspar dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Hafizh terselamat daripada kemalangan ngeri di Litar Red Bull Ring selepas gagal mengelak motosikal penunggang Italtrans, Enea Bastianini yang terjatuh.
Biarpun tercampak dan motosikalnya mengalami kerosakan, namun pelumba berusia 26 tahun itu bernasib baik tidak patah tulang atau mengalami kecederaan lebih teruk.