KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mengambil masa panjang sebelum membuat keputusan memotong sebahagian jari kelengkengnya.
Sehari selepas pembedahan, Khairul atau lebih dikenali dengan julukan KIP berkongsi tentang dilema tersebut yang selama ini menghantui dirinya, sehingga mengganggu fokus penunggang Petronas Sprinta Racing itu ketika berada di atas litar.
“Jari saya dari tahun lepas tak boleh bengkok sebab ada skru. Masa jatuh di Brno, jari saya retak balik.
“Kalau saya kekalkan jari ini lagi, lepas itu jatuh, senang patah semula. Jadi saya bincang dengan pasukan (sama ada jari perlu dipotong).
“Keputusan yang sukar sebenarnya. Tapi demi masa depan, saya cuba yang terbaik. Saya harap tiada lagilah gangguan pada jari saya selepas ini,” katanya kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Kelmarin, KIP, 21, berjaya menjalani pembedahan jari tangan kanannya itu di Barcelona.
Pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu sebelum ini pernah mengalami kecederaan jari yang sama sehingga terpaksa berehat panjang pada musim terakhirnya dalam kelas Moto2, tahun lalu.
Pada masa sama, KIP berharap jarinya akan segera pulih, sekali gus dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam latihan menjelang Grand Prix San Marino, 13 September ini.
“Saya akan jumpa doktor Isnin ini untuk periksa semula jari. Selepas ini bolehlah saya fokus berlumba dan berikan yang terbaik tanpa ada gangguan,” katanya.