LISBON: Dua jaringan pemain gantian, Moussa Dembele membawa Lyon melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mengejutkan Manchester City 3-1 awal pagi tadi.
Kelab Perancis itu kini akan menentang juara Jerman, Bayern Munich dalam perebutan tiket final, Khamis depan.
Lyon mendahului pada minit ke-24 selepas Maxwel Cornet yang melihat penjaga gol City, Ederson meninggalkan garisan melepaskan rembatan rendah ke penjuru gawang.
City bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kanan Kevin De Bruyne pada minit ke-69, begitupun Lyon tidak menunggu lama untuk kembali di depan.
Dembele menghukum Ederson apabila merembat bola ke gawang lawan pada minit ke-79 sebelum menambah gol peribadi keduanya, tiga minit sebelum tamat perlawanan. – AGENSI