LONDON: Manchester City akan berhabis-habisan untuk mendapatkan Lionel Messi jika pemain itu serius mahu menyertai kelab.
City pernah dikecewakan dua kali dalam usaha membeli pemenang Ballon d’Or enam kali itu dan tidak rela dimalukan sekali lagi.
Akhbar utama Argentina, La Nacion hari ini melaporkan, Messi memberitahu rakan-rakannya dia sudah menghubungi Pep Guardiola jika jurulatih itu dapat menguruskan perpindahannya ke Etlihad.
“Bola sepak di sana (England) sangat menakjubkan dan ia sesuai dengan apa yang sama mahukan,” kata Messi dipetik kepada La Nacion.
Biarpun City dilihat berada di baris depan, namun ‘orang-orang Messi’ juga sedang ssßberunding dengan Paris Saint-Germain (PSG).
Jika City menggunakan bekas pengurus Barcelona, Guardiola sebagai tarikan buat Messi, PSG pula memiliki bekas rakan sepasukannya, Neymar.
Laporan di Argentina berkata, antara sebab utama yang mendorong Messi untuk meninggalkan Camp Nou adalah apabila jurulatih baharu, Ronald Koeman memberitahunya ‘ Keistimewaannya dalam skuad sudah habis”.
Pengurus dari Belanda itu juga memberitahu Messi: “Kamu kena berkorban untuk kelab.
“Saya tidak akan menjadi fleksibel, kamu perlu memikirkan tentang kelab”.
Kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara, selain kegagalan meraih sebarang trofi musim ini turut menguatkan lagi hasrat Messi untuk meninggalkan gergasi Sepanyol itu. – AGENSI