MANCHESTER: Manchester City sedia berbelanja mewah sehingga 300 juta pound (RM1.65 bilion) dalam pasaran perpindahan bagi memenuhi senarai sasaran Pep Guardiola.
Skuad The Citizens kalah teruk, 18 mata di belakang Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2019/2020.
Bagi menguatkan pasukan, City bersetuju memberi bajet besar kepada Guardiola dan sudah mengambil langkah membeli pemain sayap Valencia, Ferran Torres manakala pertahanan Bournemouth, Nathan Ake dalam perjalanan.
Torres, 20, menandatangani kontrak lima tahun dengan perjanjian sekitar 20.9 juta pound (RM115.4 juta).
“Saya sangat gembira menyertai Manchester City.
“Setiap pemain mahu menjadi sebahagian jentera serangan pasukan ini kerana permainan menyerang mereka antara yang terbaik di dunia,” kataTorres dalam laman web City semalam.
Pembelian kedua yang akan dimeterai pada bila-bila masa adalah Ake, bek kiri Belanda berusia 25 tahun.
City dijangka mengeluarkan 41 juta pound (RM225.49 juta) untuk pemain yang pernah menyarung jersi Chelsea tetapi mengukuhkan kariernya di Bournemouth.
Turut berada dalam radar adalah pertahanan tengah Napoli, Kalidou Koulibaly yang dianggarkan bernilai 90 juta pound (RM495 juta).
Guardiola juga aktif mencari pengganti jangka panjang buat bintang penyerang Argentina, Sergio Aguero yang akan menginjak 33 tahun pada 2021.
Penyerang sensasi Portugal, Joao Felix masih menjadi buruan City biarpun pemain berusia 20 tahun itu baru semusim menyertai Atletico Madrid dengan harga 113 juta pound (RM621 juta).
Itu bermakna, jika Guardiola benar-benar serius untuk membawa masuk Felix, mereka perlu menawarkan harga yang mungkin ‘tidak masuk akal’. – AGENSI