IPOH: “Ini bukan malam Perak. Nasib ternyata tidak menyebelahi kami’.
Begitu kata Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengenai kekalahan 0-1 pasukannya kepada Melaka United di gelanggang sendiri kelmarin sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad The Bos Gaurus dalam saingan Liga Super.
Bagi Durakovic, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik tetapi kegagalan menyumbat gol daripada peluang dicipta menjadi faktor yang menghalang kemenangan pasukan tuan rumah.
“Kami bermain dengan baik dan memiliki beberapa peluang gol tetapi malangnya tiada penyudah. Ia sungguh mencecewakan kami.
“Sebaliknya Melaka United berjaya membolosi gawang kami sekali sahaja dan ia nyata sudah mencukupi,” kata Mehmet dalam sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Jurulatih itu juga memuji aksi pemain pasukan pelawat kerana berjaya mempertahan benteng mereka dengan baik hingga sukar ditembusi.
“Penjaga gawang Melaka, Khairul Fahmi Che Mat menjadi penghalang besar buat kami untuk meledak gol,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih itu mengakui kehilangan pemainnya, J. Partiban, Raianderson Da Silva Costa Morais atau Careca, menjejas persembahan pasukannya.
“Kami beraksi tanpa dua pemain yang sentiasa berada dalam kesebelasan permulaan dan saya terpaksa menurunkan pemain muda.
“Mereka sudah memberi yang terbaik tetapi malangnya kami gagal. Ini biasa dalam bola sepak. Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa,” ujarnya.
Dengan kekalahan itu, jurulatih itu mengakui berdepan tugas berat menjelang pertemuan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang lawan pada 4 September ini.