IPOH: Rekod tanpa kalah Perak dalam saingan Liga Super lebur apabila tumpas 0-1 kepada Melaka United dalam perlawanan di Stadium Perak di sini hari ini.
Muhammad Ferris Danial Mat Nasir muncul wira pasukan pelawat apabila menyumbat gol kemenangan pasukannya.
Anak buah Zainal Abidin Hassan itu memanfaatkan kealpaan benteng pasukan tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gol Perak, Mohamad Nasrullah Abdul Aziz pada minit ke-51.
Anak buah Mehmet Durakovic hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang gol yang diperoleh.
Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit selepas ketinggalan tetapi segala usaha mereka gagal membuahkan hasil.
Turun beraksi selepas berehat hampir empat bulam akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedua-dua pasukan tampak bergelut dengan persembahan masing-masing terutama pada babak pertama apabila gagal menyudahkan peluang jaringan yang dicipta.
Skrip babak kedua tidak berubah dengan kedua-dua pasukan mempamer corak berbeza dan nasib ternyata lebih menyebelahi pelawat apabila berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi gol tunggal perlawanan Mohamad Nasrullah.