KUALA LUMPUR: Pencapaian hebat Bonnie Bunyau Gustin dalam sukan powerlifting sepanjang tahun lalu meletakkannya sebagai calon popular Atlet Terbaik Para Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019.
Tanggal 15 Julai 2019 menjadi detik paling manis buat atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu apabila muncul juara Kejohanan Dunia di Nur-Sultan, Kazakhstan dua kali berturut-turut.
Pingat emas pertama diperoleh dalam kategori remaja 65 kilogram (kg) sebelum Bonnie mengejutkan pencabar jauh lebih berpengalaman, termasuk juara dunia, Paul Kehinde untuk menjuarai acara sama bagi saingan senior.
Bonnie bakal dicabar dua atlet memanah para negara, S. Suresh dan Wiro Julin serta jaguh lontar peluru, Mohd. Ziyad Zolkefli.
Pencapaian terbaik Suresh, 26, adalah memenangi emas Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda dalam acara recurve.
Itu adalah podium keduanya selepas muncul naib juara Kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza yang berlangsung di Dubai pada Mei, sekali gus membawa Suresh muncul atlet Malaysia pertama layak ke Sukan Paralimpik Tokyo.
Meskipun masih baharu dalam arena sukan negara, Wiro membuktikan dia adalah permata memanah negara apabila muncul naib juara acara compound dalam Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, sekali gus mengiringi Suresh ke Tokyo.
Ziyad juga antara atlet para yang menyinar pada 2019 selepas menaiki podium selaku pemenang pingat perak Sukan SEA di Manila.
Pemenang anugerah akan menerima hadiah wang tunai RM 10 000 dan trofi.
SAM memperkenalkan Anugerah Atlet Para Terbaik bermula 2016 yang dimenangi jaguh pecut, Mohd. Ridzuan Puzi.
Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019 akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.