LONDON: Pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman percaya pasukannya perlu mengikat Kylian Mbappe jika mahu menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perebutan gelaran Liga Juara-Juara hujung minggu ini.
Juara Bundesliga itu bakal bertembung PSG Ahad ini (Isnin pukul 3 pagi waktu Malaysia) setelah meniti ke final dengan pencapaian menakjubkan apabila membelasah Barcelona 8-2 di suku akhir sebelum membenam Lyon 3-0 semalam.
PSG pula tidak lagi tempang selepas Mbappe yang sebelum ini cedera membuat kemunculan semula, sekali gus meningkatkan peluang mereka selepas mara ke final buat pertama kali dengan menewaskan Atalanta dan RB Leipzig minggu lalu.
Penyerang Perancis itu akan menjadi sandaran PSG di stadium Lisbon bersama gandingannya, Neymar.
“Saya pernah bermain dengannya banyak kali, jadi saya tidak akan berhenti mengingatkan Bayern.
“Ada juga video dan panduan daripada jurulatih. Kylian pemain yang mencipta peluang, gaya permainannya hampir sama seperti Lionel Messi yang sudah pun kita hadapi.
“Dia mampu membawa perbezaan dalam pasukan dan kami akan cuba ‘mendiamkannya’ sebaik yang boleh,” kata pemain Perancis itu.- AGENSI