LISBON: Dua jaringan Serge Gnabry membawa Bayern Munich ke final Liga Juara-Juara buat kali ke-11 selepas membenam Lyon 3-0 awal pagi tadi.
Penyerang berbisa, Robert Lewandowski turut menemui sasaran, sekali gus akan menemukan juara Jerman itu dengan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain Ahad ini.
Bayern kini menjadi pilihan untuk merangkul gelaran Eropah kali keenam selepas muncul juara pada 1974, 1975, 1976, 2001 dan 2013.
Kelab Bavarians itu juga menyamai rekod 10 kemenangan dalam satu musim yang dilakukan Real Madrid pada 2015.
Dalam aksi di Stadium Jose Alvalade, Lyon mensia-siakan dua peluang terbaik untuk mendahului pada babak pertama menerusi Memphis Depay dan Karl Toko-Ekambi.
Hanya beberapa saat selepas percubaan Toko-Ekambi tersasar, Gnabry membuka jaringan Bayern pada minit ke-18 sebelum menambah gol keduanya, minit ke-33.
Gnabry, 25, yang meledak empat gol ketika Bayern membelasah Tottenham 7-2 di peringkat kumpulan, kini mengumpul sembilan gol dalam sembilan penampilan musim ini.
Jaringan Lewandowski yang ke-55 musim ini (semua pertandingan) hadir dua minit sebelum tamat permainan.
Penyerang Poland itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 15 gol. – AGENSI