SPIELBERG: Pelumba berpengalaman MotoGP, Valentino Rossi menjelaskan bahawa jentera lawan yang memecut dengan kelajuan sekitar 300 kilometer sejam hampir mengancam nyawanya pada kemalangan di Grand Prix (GP) Austria, malam tadi.
Juara dunia sembilan kali itu, terkejut apabila jentera pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli tiba-tiba ‘terbang’ melintasi litar dan hanya beberapa sentimeter daripadanya.
Situasi itu tercetus selepas Morbidelli dan pelumba Ducati, Johann Zarco berlanggar hanya beberapa saat sebelum pelumba lain mengambil selekoh di Spielberg pada pusingan kelapan perlumbaan tersebut.
“Jentera Morbidelli hampir membunuh saya. Motosikal Ducati Zarco juga melintas hanya beberapa meter di depan saya, ia saat yang bahaya.
“Saya sangat takut dan kejadian itu buat saya menggigil. Perlumbaan yang kembali bersambung memberi kesukaran.
“Saya mengambil risiko terbesar dalam karier saya,” kata pelumba berusia 41 tahun itu.
Disebalik, situasi yang hampir meragut nyawanya, Rossi dilihat mampu mengawal dirinya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso menjuarai perlumbaan MotoGP Austria manakala kedudukan kedua menjadi milik Joan Mir dari Sepanyol yang mewakili pasukan Suzuki dan Jack Miller melengkapkan kedudukan podium buat pasukan Ducati. – AGENSI