LONDON: Mikel Arteta mencabar Pierre-Emerick Aubameyang untuk kekal di Arsenal dan menjadi legenda kelab.
Sama seperti perlawanan separuh akhir, Aubameyang turut menjaringkan kedua-dua gol untuk Arsenal memenangi Piala FA selepas mengatasi Chelsea 2-1 dalam final di Stadium Wembley kelmarin.
Bekas pemain Borussia Dortmund itu telah meledak 70 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai skuad Gunners pada Januari 2018, namun masa depannya di Emirates tetap menjadi tanda tanya.
Kontrak Aubameyang akan tamat tahun depan, namun Arteta sering kali mengatakan dia yakin pemain kebangsaan Gabon itu bersedia kekal bersama mereka.
Setelah menjaringkan gol menarik untuk menundukkan Chelsea, Arteta mencabar Aubameyang untuk menempatkan dirinya sebaris Ian Wright dan Thierry Henry dalam sejarah Arsenal.
“Detik mencemaskan dalam bola sepak. Sudah tentu dia menjadikan keadaan lebih ‘mudah’ ketika meledak gol kedua.
“Kami sentiasa mendambakan penyerang hebat untuk kelab ini dan Auba berhak berada di sini sebaris legenda Arsenal jika dia terus kekal.
“Jika memenangi trofi, dia akan menghampirinya. Harap kami akan memiliki masa yang lebih panjang bersamanya,” kata Arteta. – AGENSI