LONDON: Buat tahun kedua berturut-turut Liverpool seri 1-1 dalam perlawanan Perisai Komuniti dan kalah menerusi penentuan sepakan penalti.
Juara terpaksa ditentukan menerusi penalti selepas perlawanan terikat sehingga tamat 90 minit, sebelum Arsenal akhirnya dinobat sebagai pemenang menerusi kemenangan 5-4.
Bintang remaja sensasi Liverpool, Rhian Brewster satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan penalti selepas tendangannya terkena palang.
Brewster, 20, kelihatan amat kecewa sebelum ditenangkan oleh Curtis Jones dan mendapat pelukan dari Jurgen Klopp serta Roberto Firmino.
Beraksi tanpa penonton di Stadium Wembley, Arsenal terlebih dulu bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-12.
Pemain gantian, Takumi Minamino bagaimanapun meledak gol penyamaan pada minit ke-73 untuk mengheret saingan ke penentuan sepakan penalti.
“Saya rasa sangat hebat. Hari ini kami berhak menang. Kami akan tengok nanti (kontrak baharu), sekarang saya mahu menjulang trofi,” kata Aubameyang.
Tahun lalu, Liverpool diikat 1-1 oleh Manchester City sebelum tewas juga menerusi penentuan sepakan penalti 4-5. – AGENSI