LONDON: Amir Khan bersedia bertarung dengan Oscar De La Hoya selepas petinju legenda itu bersetuju untuk keluar daripada persaraan.
De La Hoya, 47, mengumumkan persaraan selepas tewas kepada Manny Pacquiao pada Disember 2009, sekali gus menamatkan karier gemilang dengan 11 kejuaraan dunia dan emas Olimpik.
Kali terakhir Amir bertarung adalah pada 2019 dengan mengalahkan Billy Dib.
“Saya dengar @OscarDeLaHoya ingin kembali.
“Oscar De La Hoya vs Amir Khan,” katanya menerusi satu hantaran bersama gambar di laman Twitter.
De La Hoya yang berjaya sebagai promoter sejak bersara menjadi pentinju terbaharu mengumumkan untuk kembali bertinju selepas Mike Tyson.
Tyson yang kali terakhir bertinju pada 2005 akan bertemu Roy Jones Junior yang bersara pada 2018 dalam satu pertarungan pertunjukkan di California, November ini.
De La Hoya yang dikenali sebagai The Golden Boy sebelum ini berkata, dia sedang mempertimbangkan hasrat kembali dan mahu melihat perkembangan semasa Tyson sebelum membuat keputusan.
“Saya serius memikirkan perkara ini.
“Tidak kisah dengan siapa saya bertemu. Sesiapa yang terbaik di luar sana.
“Saya masih ada mentaliti juara. Saya mahu tengok Tyson dahulu. Saya sudah mula bersenam, menjalani latihan untuk kembali mendapatkan bentuk badan ideal.
“Jelas sekali saya tidak memiliki fizikal terbaik untuk aksi 12 pusingan tetapi saya boleh mempersiapkan diri.
“Saya mahu tengok Tyson, cara dia bertindak balas dalam gelanggang sama ada dia boleh bertahan untuk tiga atau empat pusingan. Selepas itu saya buat keputusan,” katanya. – AGENSI