KUALA LUMPUR: Selepas Luqman Hakim Shamsudin mengikat kontrak bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, giliran Allee Putra Azril pula mencari pengalaman antarabangsa dengan memilih untuk berguru di Sepanyol.
Peluang remaja berusia 15 tahun itu untuk bergelar pemain profesional kini terbuka luas selepas dipilih menyertai akademi bola sepak FC Malaga City dan dia akan berlepas Jumaat ini.
“Pencapaian Luqman yang menyertai KV Kortrijk menjadi inspirasi kepada saya untuk mengejar impian beraksi dalam liga utama Eropah.
“Tawaran ke Sepanyol adalah peluang keemasan buat saya untuk mengasah bakat dan harapan saya suatu hari nanti dapat mewakili Malaysia dan kelab di Eropah,” kata Allee Putra dalam sidang akhbar hari ini.
Allee, anak tunggal kepada bekas pemain Piala Presiden Kelantan, Azril Mohd. Zawawi berjanji akan memberikan aksi terbaik sepanjang perguruan di Sepanyol.
Sementara itu, firma arkitek terkemuka R2 Architect Sdn. Bhd. memastikan impian Allee Putra menjadi realiti apabila membiayai latihan pemain itu di Sepanyol
Pengarah R2 Architect Sdn. Bhd., Ruslan Razak berkata, ia adalah sebahagian khidmat sosial mereka dalam menyokong pembangunan sukan khususnya bola sepak.
“Bakat Allee Putra adalah sebab utama kami membiayai dari segi visa, yuran pengajian bahasa, penginapan, tiket penerbangan dan lain-lain keperluan.
“Malaga City FC menawarkan Allee Putra dua tahun pengajian yang mana dia ditawarkan tempat ke sana dan bukan memohon masuk akademi.
“Dia juga mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),” katanya.
Difahamkan, kos perbelanjaan untuk menyertai akademi itu sekitar RM78,000 termasuk tempat tinggal, makan, pengangkutan ke pusat latihan, kit pasukan, panduan nutrisi, video perlawanan dan analisis pemain.