AMSTERDAM: Luis Suarez terpaksa meninggalkan Barcelona selepas namanya dalam senarai ‘pemain tidak dikehendaki’ di Camp Nou dan Ajax antara kelab yang berminat mendapatkan penyerang berusia 33 tahun itu.
Presiden Barcelona, Josep Bartomeu mengesahkan hanya tujuh pemain akan dikekalkan iaitu Lionel Messi, Ter Stegen, Clement Lenglet, Nelson Semedo, Frenkie De Jong, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele.
Langkah itu diambil selepas kekalahan memalukan 2-8 kepada Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara.
Kontrak Suarez akan tamat pada 2021 dan tiada lanjutan ditawarkan kepada bintang Uruguay itu.
Ajax bersedia menawarkan 13.5 juta pound (RM74.5 juta) untuk membawa pulang bekas pemain mereka ke liga Belanda.
Sebelum berhijrah ke Liverpool dan menyertai Barcelona pada 2014, Suarez pernah bersama Ajax dari 2007 hingga 2011. – AGENSI