KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan berkompromi, kalau yang layak (beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M)) 10 pasukan, jadi kita teruskan dengan 10 pasukan.”
Itu penegasan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang kecewa dengan sikap persatuan yang mengambil mudah isu pelesenan dan penswastaan pasukan.
FAM memberi tempoh sehingga 31 Ogos ini untuk pasukan melengkapkan permohonan lesen kebangsaan atau tidak dibenarkan beraksi dalam Liga M musim depan.
Mereka yang gagal memenuhi proses pemisahan FA (persatuan) ke FC (kelab) pada 30 September juga akan ‘dihantar’ ke Liga Amatur (Liga M3).
Hamidin yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut menyuarakan kekesalan kerana isu tunggakan gaji masih mencemari liga tempatan biarpun pelbagai tindakan keras sudah diambil seperti pemotongan mata.
“Saya tahu akan ada persatuan datang saat akhir untuk merayu, kemudian ada yang kata FAM tak akan berani ambil tindakan drastik.
“Jangan kata saya takut, saya tidak takut walaupun pemilihan (presiden) akan diadakan tahun depan.
“Kami sudah lama berlebih kurang, kita tidak boleh biarkan ini,” kata Hamidin dalam sesi minum petang di antara MFL dan pengarang sukan tempatan kelmarin.
Utusan Malaysia difahamkan, pasukan gergasi pantai timur yang memiliki kumpulan penyokong ramai, selain kelab dari Borneo antara yang belum memulakan proses permohonan lesen biarpun tarikh tutup tinggal 11 hari.
Sesebuah kelab atau pasukan tidak akan memperoleh lesen kebangsaan daripada ‘First Instance Body’ Pelesenan Kelab FAM jika gagal menjelaskan baki hutang tertunggak musim ini.
Ia meliputi tunggakan gaji serta hutang dengan agensi kerajaan sama ada melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketika ini, liga utama Malaysia, Liga Super dan saingan divisyen dua, Liga Perdana masing-masing dianggotai 12 pasukan.